Isnin, April 04, 2005

Sahabat sejati (?)

A'kum &slam sejahtera..Rasulullah saw pernah berpesan: "Agama seseorang itu terletak di atas agama atau jalan yang dipilih oleh rakannya". Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dalam memilih siapa yang harus dijadikan sahabat. Kehidupan setiap manusia memerlukan seseorang untuk dijadikan sahabat. Tidak ada sesiapa pun yang mampu hidup tanpa mempunyai kawan, seperti kata seorang ustaz, "Tarzan (kalaupun ceritanya benar) juga memerlukan sahabat!" Betullah apa yang dikatakan oleh Rasulullah, siapa sahabat kita begitulah juga corak kehidupan kita. Sahabat rapat Tarzan adalah orang utan, jadi begitulah cara kehidupannya, daripada cara berjalan, tidur hinggalah makan seperti seekor orang utan! Jadi dalam bersahabat, kita mesti pandai membuat pilihan supaya tidak tersalah pilih. Pilihan yang bijak bukan sekadar ketika ingin mendirikan rumah tangga, tetapi juga dalam memilih sahabat. Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: "Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:
# Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu
# Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu
# Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu
# Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik
# Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu
# Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya
# Jka engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya; # Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu
# Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu
# Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu
# Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu
# Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

Sahabat Rasulullah, Saidina Ali ada berkata: "Saudaramu yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada di samping kamu. Dia sanggup membahayakan dirinya demi kemaslahatan kamu. Orang yang setiap masa bekerja untuk keperluan kamu. Sanggup mengorbankan segala-galanya untuk kepentingan kamu." Ada juga yang berpesan: "Sesiapa yang suka berkawan, tetapi tidak suka melebihkan kawan daripada diri sendiri, maka lebih baik dia berkawan dengan ahli kubur!". Begitu sekali pesanan dalam memilih kawan. Marilah bersama-sama kita periksa diri masing-masing sama ada layak menjadi sahabat sejati atau hanya layak menjadi kawan kepada ahli kubur. Siapakah sahabat paling rapat yang pernah kita miliki?