Memaparkan catatan dengan label Minyak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Minyak. Papar semua catatan

Khamis, November 20, 2008

Minyak Murah, Barang Mahal ?

Assalamu'alaikum & salam sejahtera..Punca utama ekonomi jadi rosak dan cacamarba adalah politician fikir dia tahu semua benda pasal pasaran. Jadi mereka mahu masuk campur dan cuba tentukan harga mengikut rasa sendiri. Sedangkan, ia kurang betul.

“Oh harga ini tinggi sangat. Jadi kita buat harga siling.”

“Oh harga ini rendah sangat. Jadi kita buat harga minima.”

Politician selalu nak ambil hati sama ada peniaga atau pengguna. Jadi mereka selalu campur tangan dalam penentuan harga. Ini semua nak undi punya pasal. Atau nak jaga kepentingan sendiri.

Kalau mereka nak bantu peniaga atau jaga kepentingan sendiri sahaja, mereka akan buat keadaan jadi monopoli.

Kalau pengguna marah, cukup marah, maka mereka akan suruh peniaga turunkan harga dan beri subsidi kepada peniaga.

Kalau mereka nak bantu pengguna, mereka akan buat keadaan sampai peniaga tak boleh cari makan.

Kalau peniaga marah, mereka akan cuba gunakan undang-undang menghukum atau beri subsidi sekali lagi.

Oleh kerana mereka telah campur tangan, pasaran menjadi biol. Sebab ia berlaku hasil campur tangan kerajaan. Kemudian mereka pening kepala bila pasaran biol dan mereka marah-marah. Sedangkan mereka lah penyebab pasaran jadi biol.

Pak Lah ini lupa kot. Harga minyak walaupun sudah menjadi RM 2 / liter (mulai 18 November 2008) tetapi ia sebenarnya masih mahal RM 0.08 dari harga RM 1.92 / liter (terus naik 78 sen) atau RM 0.68 dari harga RM 1.62 / liter (terus naik 30 sen)

Itu belum campur tarif elektrik yang juga naik. Kadar tol yang dah naik.

Baguslah tu kalau harga minyak turun. Untuk orang yang beli minyak. Tapi negara yang jual minyak macam Malaysia, pening kepala sebab pendapatan kurang.

Baguslah tu, harga komoditi macam getah dan sawit turun. Untuk orang beli getah dan sawit. Tapi negara yang jual getah dan sawit macam Malaysia ni, pening kepala sebab pendapatan kurang.

Kerajaan sepatutnya tidak berniaga.

Kerajaan juga tidak patut berpihak kepada peniaga. Kerajaan juga tidak patut berpihak kepada pengguna.

Kerajaan perlu neutral.

Kerajaan perlu wujudkan keadaan di mana peniaga selesa berniaga tanpa banyak gangguan, dan pengguna boleh menggunakan hak mereka tanpa banyak gangguan.

Kerajaan hanya perlu memainkan peranan hisbah dalam pasaran.

Maksudnya, kalau peniaga jual harga mahal, biar sahaja pengguna tentukan tindakan yang wajar. Boikot ka. Demo ka. Selagi mana ia dibuat secara aman.

Ini tidak, bila syarikat tol buat hal, demo dibuat, FRU datang pukul orang ramai buat apa?

Konsep kawalan harga perlu dihapuskan. Dalam keadaan terbiasa dengan subsidi sebegini, lakukan sedikit demi sedikit. Biar pasaran tentukan harga yang sesuai secara semulajadi.

Politician yang dimaksudkan baik dari BN atau PR. Semua perlu hormat kepada pasaran.

BIla ada ura-ura kerajaan Negeri Selangor nak beli balik SYABAS saya rasa inilah masa terbaik untuk PAS cadangkan agar khidmat bekalan air ini dijalankan mengikut konsep waqaf. Biar rakyat Selangor memiliki syarikat air ini melalui proses waqaf.

Kalau kerajaan Selangor ingin berniaga dengan memilik negerikannya , maka ia tidak betul.

Kalau kerajaan Selangor ingin beri kontrak SYABAS kepada orang lain pula yang boleh terima tawaran subsidi mereka, itu juga tidak betul.

Orang kata, kalau harga tidak dikawal nanti peniaga jadi tamak.

Sedangkan persaingan terbuka syarikat telekomunikasi Maxis, DiGi, Celcom dan U-Mobile terbukti menguntungkan pengguna.

Dan yang lebih penting dari itu, Nabi Muhammad saw sendiri tidak campur tangan dalam penentuan harga ini.

Daripada Anas beliau berkata, orang ramai telah mengadu kepada Nabi, Ya Rasulullah saw, “Harga barangan telah naik, oleh sebab itu tentulah dan turunkanlah harga untuk kami.

Maka Baginda menjawab,”Bahawa sesungguhnya Allah swt sahaja yang menjadikan yang Maha Kuasa menyempitkan, yang Maha Kuasa menyederhanakan penghidupan, yang Maha Kuasa melapangkan, yang Maha Kuasa memberi rezeki, dan aku sesungguhnya sangat berharap dapat menemui Allah swt dan tidak lah ada seorang pun di antara kamu yang dapat menuntut daripadaku terhadap kezaliman yang telah aku lakukan berkaitan dengan harta benda bahkan aku hanya berdoa kepada Allah swt.” - Hadis Abu Dawud & Tirmidhi

Nabi saw dah sebut begini, saya hanya perlu patuh. Saya tak berani nak lawan cakap Nabi saw.


Karya asal di www.pakdi.my