Assalamu'alaikum & salam sejahtera.. Di Tokyo, ada teori mengenai kaitan antara makanan dan seks apabila keluar laporan terbaru oleh penyelidik Jepun mendakwa belia yang tidak bersarapan cenderung hilang 'teruna' atau 'dara' mereka pada usia lebih awal.
Penyelidikan itu memberi kesimpulan berkenaan selepas melakukan kajian terhadap 3,000 responden, lapor agensi berita, kelmarin.
Ia mendapati, remaja yang sering tidak bersarapan hilang status teruna atau dara puratanya pada usia 17.5 sedangkan purata keseluruhan adalah 19 tahun bagi semua warga Matahari Terbit itu.
Bagaimanapun, bagi mereka yang mengambil sarapan pada usia remaja, purata usia mereka menjalin kali pertama asmara ialah 19.4, menurut laporan itu.
Kajian itu disokong oleh Kementerian Kesihatan Jepun yang bertujuan mencari jalan menyekat kes remaja mengandung sedangkan mereka tidak berniat demikian.
Penyelidik juga membuat kesimpulan keadaan rumah tangga yang stabil adalah faktor remaja tidak menjalin hubungan seks pada usia muda.
"Remaja yang tidak gembira dengan ibu bapa mereka termasuk memberi alasan tidak menyediakan sarapan untuk mereka, mungkin melepaskan kekecewaan dengan melakukan seks," kata Kunio Kitamura, ketua penyelidik dari Persatuan Perancang Keluarga Jepun.
"Jika kanak-kanak tidak selesa bersama keluarga sendiri, mereka akan keluar dari rumah," katanya.
Tambahan lagi, golongan muda yang mula melakukan hubungan seks lebih awal biasanya akan mengelak bersarapan kerana mereka selalu pulang lewat, katanya.
Jepun mencatat rekod sebagai negara paling rendah kadar kelahiran kerana semakin ramai belia menangguhkan perkahwinan kerana menganggapnya menjejaskan kerjaya atau gaya hidup mereka.
Kajian itu juga mendapati, hampir 40 peratus pasangan yang sudah berkahwin, tidak melakukan hubungan seks lebih sebulan.
Dalam borang jawapan, responden berkata, mereka terlalu letih disebabkan kerja atau menganggap seks hanya menyusahkan, kata penyelidik. - Agensi
Karya asal di www.bharian.com.my